SaUDaRa SiBeR

Rabu, 16 Disember 2009

Antara Tanggungjawab dan Rasa Kasihku

Mungkin kalian sudah maklum akan penglibatan saya di dalam pembikinan majalah kolej untuk sesi ini. Mana tidaknya, saya bertindak memaklumkan kepada sesiapa sahaja yang bertanya. Sedikit sebanyak saya berasa terbeban memikirkan tanggungjawab yang digalas sidang redaksi pada sesi ini. Kami terdiri dari sebilangan kecil kumpulan manusia, yang masih sedang belajar dan berusaha melaksanakan setiap gerak yang kami fikirkan terbaik untuk menyempurnakan majalah ini. Inikah rasa 'sense of belonging' yang dimomok-momokkan Ana? Tatkala menyebut nama Ana, saya tersenyum sendiri. Teman ini sudah mula menulis kembali, menyahut cabaran saya dalam terpaksa mungkin. Namun saya tidak pernah memberanikan diri menyahut apa-apa cabaran darinya. Maaf Ana.
Adakalanya saya berfikir-fikir, apakah saya masih terperangkap dalam krisis identiti dan ketidak yakinan diri yang menebal? Adakah faktor-faktor ini yang selama ini menjadi seolah-olah dinding halimunan yang menahan diri saya dari melakukan apa-apa? Adakah rasa ini berselindung di sebalik ketakutan yang membungkus diri saya? Jawapannya terletak dalam diri, itu saya pasti. Saya juga ingin berkongsi kata-kata yang saya kutip dari siri drama Jepun yang sedang saya gilai kini, Hanazakarino Kimitache- Adakalanya seronok bertemu perkara yang kita tidak jangkakan. Seperti, mencuba skirt yang tidak ada sukai dan ia kelihatan sangat cantik tatkala anda memakainya? Hm..
Sebetulnya corak pemikiran saya tidaklah terlalu mendalam dan meluas. Saya cenderung memikirkan perkara-perkara kecil yang tidak terlalu rumit malah kerap dipengaruhi rasa. Setiap pendapat yang saya luahkan akan disertai dengan ekspresi yang keras. Jadi, walaupun saya cuba berlagak matang saya pasti saya kelihatan seperti anak-anak apabila meluahkan sesuatu.
Sebelum saya melalut dengan lebih jauh, saya mendoakan agar anda berusaha ke arah hari yang produktif (saya sudah berfikir seperti seorang pekerja?) dan dikurniakan kesihatan serta akal yang cerdas untuk terus-terus menjana idea. Wassalam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

u r responsible woman!!!

WaRKaH CiNTa berkata...

Hehe.. Thanks, semoga apabila tanggungjawab ini terlaksana kita mendapat kepuasan!