Menjelang tahun kedua pengajian di kampus hijau ini, terlalu banyak pengalaman yang mengajar saya. Klise, saya tahu namun itulah hakikatnya. Sebetulnya saya dilanda perasaan rindu yang keterlaluan, ingin menjenguk 'rumah' dan segala isinya yang berkaitan. Papa, Mak, Nadia dan mungkin juga Faizah jika dia pulang dari UiTM. Kucing-kucing jantan, 'Baby' dan 'Yuna' atau 'Jeram' dan 'Kembang' menurut Mak saya. Sungguh, saya merindui semua itu. Apatahlagi masa getir sudah bermula. Alangkah baiknya jika saya dapat terbang pulang ke pangkuan keluarga pada saat ini.
Pada mulanya, saya menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri di Melaka. Saya terpisah dengan kawan-kawan yang sudah saya kenali sejak sekian lama. Bagaimana saya harus bermula semula pada usia 17 tahun? Saya bukanlah seorang yang peramah, jauh lagi gemar bersosial. Berikan saya sebuah buku atau tayangkan saja sebuah cerita yang menarik, saya akan tegak mematung tanpa bersuara. Namun tatkala belajar di perantauan, saya belajar bahawa 'rumah' bukanlah tempat yang pernah saya tinggal dahulu (Taman Klang Utama). 'Rumah' bukanlah tempat saya berpeluang meluangkan masa bersama teman-teman yang sudah saya kenali sejak sekian lama. 'Rumah' adalah sebuah tempat yang menempatkan ahli-ahli keluarga saya.
Untuk pengetahuan kalian, saya sedang berusaha keras untuk menyudahkan bacaan novel 'Biarlah YM Berbicara', sangat tidak sabar untuk saya ketahui kesudahannya. Juga buat teman-teman seangkatan, kita sama-sama harus tabah melalui saat-saat getir yang amat mengujikan ini. Lakukannya dengan cara anda sendiri, percaya diri. Berserah pada Ilahi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan