Ruang masa yang sedikit ini ingin aku manfaatkan. Dua berita utama yang mewarnai blog-blog bacaanku, pemergian W. S Rendra dan pengumuman Dr. Anwar Ridhuan sebagai Sasterawan Negara ke-10. Sejujurnya aku masih terlalu hijau mengenal dunia sastera. Desakan pensyarah Teori Kesusasteraan semester lepas, Dr Kamariah terasa amat menuntut. Kini aku lebih senang meladeni karya sastera kontemporari berbanding tradisional. Kegembiraan penganugerahan Sasterawan Negara yang baru dikongsi warga dunia sastera. Salah seorang teman sempat memaklumkan, pensyarahku kelihatan sebak mengumumkannya. Nyatalah, dia berada dalam dunianya yang sukar kami fahami.
Sebagai bakal guru Bahasa Malaysia yang mengkhusus dalam Kesusasteraan Melayu, minat kian meningkat. Apatahlagi aku sememangnya gemar membaca. Ini menjadi alasan kukuh untuk aku terus membaca tanpa rasa bersalah. Bayangkan jika Tuhan menetapkan sesuatu yang berbeza sebagai takdirku? Sayangnya, aku masih belum sempat mencuit sebarang karya W. S Rendra (mulanya aku keliru antara W.B Rendra dan W.S Rendra). Keletah Cikgu Rohana, guru kertas Kesusasteraan Melayu Tradisional di tingkatan enam menerjah ingatan. Tanpa segan dia berkongsi pengalaman mengarang.
Juga, aku menemui senior-senior yang terarah kepada minat yang sama. Malah lebih dan bergiat dalam dunia sastera. Keperluan untuk menceburi dunia penulisan ini telah aku suarakan kepada teman-teman. Kami amat memerlukan jambatan ke dunia itu, maklum akan perspektif pelajar seperti kami. Sebagai sebahagian dari kumpulan, aku amat berharap. Kami bukan berseorangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan