SaUDaRa SiBeR

Rabu, 30 Disember 2009

Antara Tanggungjawab dan Kehendak

Semester baru telah bermula. Saya kembali ke kampus hijau ini dengan separuh hati, barangkali saya masih mendambakan waktu untuk bermanja-manja dengan Mak di rumah. Namun realiti mengejutkan diri seawal hari Isnin apabila melihat jadual yang bermula seawal jam lapan pagi. Mujurlah, kuliah tersebut ditunda ke waktu petang. Bilik saya masih seperti dilanggar garuda tatkala entri ini ditulis, susunan buku-buku dan kertas-kertas memenuhi ruangan saya di bilik. Tidak mustahil saya akan mati dihempap buku-buku ini, suatu hari nanti. Tanpa saya sedar, sudah banyak buku yang saya miliki. Ini membuatkan saya amat gembira :)
Tajuk di atas saya rencanakan atas sebab konflik sering yang melanda diri. Lazimnya, tanggungjawab saya agak bertentangan dengan kehendak saya. Mungkin juga saya sebenarnya tidak mahu bertanggungjawab. Hm, namun perjalanan menuju ke alam kedewasaan memerlukan saya memikul tanggungjawab, bukan sahaja pada diri saya. Adakalanya saya bersifat amat mementingkan diri sendiri. Saya suka menganggap diri saya agak naif dalam kehidupan kerana pergaulan saya yang agak terbatas malah saya agak kekok dalam pembawaan diri. Justeru, saya sedang berusaha membentuk diri ini ke arah menjadi pendidik yang berbakti pada anak bangsa. Saya pasti rakan-rakan yang lain jauh lebih ke hadapan dari saya, dan saya mendoakan yang terbaik buat diri mereka.
Kesimpulan? Tanggungjawab di tempat pertama, kehendak boleh dituruti, asalkan tidak memudaratkan diri :)

Tiada ulasan: