Agak lama aku biarkan laman ini bersawang. Buat pengetahuan kalian, aku menemui satu kecenderungan baru. Mingguan Malaysia dan Berita Harian edisi Sabtu menggamit perhatian, lebih-lebih lagi ruang sastera. Lazimnya aku menyimpan keratan karya-karya warga UPM. Sekadar meyakinkan diri bahawa sastera belum mati seperti dakwa seseorang. Tunas Cipta juga tidak ketinggalan. Syabas buat kalian yang berkarya, malah disiarkan di media massa. Aku akan terus menjadi peminat kalian.
Dunia kampus terasa menyesakkan. Tugasan menghambat, menuntut aku menjadi insan serba pantas. Bayangan keluarga menghantui, homesick menebal. Aku sedang mencuba sedayanya. Sabtu lalu, (1 Ogos) aku menjejakkan kaki ke Plaza PKNS, Shah Alam. Pesta Buku Selangor!! Hampir RM 100 melayang, Tunas Cipta keluaran Ogos kucapai tanpa ragu. Trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta karya Ramlee Awang Murshid. Lentera Mustika karya Nisah Haron, Rahsia Ummi dan Maaf dari Sorga karya Faisal Tehrani kubeli di SACC Mall. Ujana Rindu di Marwilis Book Store, Plaza PKNS.
Aku mahu meluangkan masa membaca kesemuanya!! Namun masa ibarat musuh yang sering menang, aku kelelahan sentiasa.
Kegembiraan bertemu teman-teman setelah bercuti seminggu terasa. Aku harus kembali menyambung perjuangan yang kian menyesakkan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan