SaUDaRa SiBeR

Khamis, 17 September 2009

Di Penghujung Rindu..

Sebetulnya, aku enggan menulis apa-apa. Namun tatkala membunuh masa melayari laman sesawang di alam maya, paparan demi paparan menjentik naluri. Aku rasa gerun untuk menyatakan apa-apa. Kata-kata pensyarahku terngiang-ngiang di telinga, menulis di blog biarlah sesuatu yang berfaedah. Namun aku cemburukan peluang mereka yang lain, menyatakan rasa dan berkongsi cerita. Dua minggu kebelakangan ini, aku seolah-olah tenggelam dalam dunia buatan sendiri. Tugasan yang aku tangguhkan hingga ke saat-saat akhir menguras tenaga hingga ke tahap sifar. Tanpa sedar Ramadhan berlalu, membawa bersama rindu yang tak pernah dapat ku lampiaskan.
Juga, aku terlalu menurut rasa sehingga mengheret aku dalam satu kegilaan yang aku sendiri tidak fahami. Iya, kegilaan. Barangkali perkataan itu terlalu bombastik digunakan, tapi terselit kewajaran. Apa yang lagi yang sesuai dinamakan pada perkara yang menghuni sudut fikir setiap masa? Berkuasa menjadikan aku manusia obses tanpa sebab munasabah. Entah di mana aku terbaca, inilah kelemahan remaja. Terlalu menurut emosi dan melayan rasa. Tiada keinginan mencabar diri malah selesa hidup seadanya. Luahan pensyarah yang menyatakan, mahasiswa sekarang terlalu selesa. Hanya menunggu disuap sahaja.
Sebetulnya kami semua bersemangat untuk belajar. Percayalah, masih ada dalam kalangan kami yang dahagakan ilmu dari pensyarah. Apa yang aku nyatakan selepas ini hanya alasan. Kompromi. Tanggungjawab. Keseronokan. Minat. Pilihlah salah satu dan mungkin kalian dapat mengaitkannya dengan kehidupan sendiri.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Aku tahu semester ini aku banyak mengguris rasa, lantaran kemaafan dan teguran kalian amat aku harapkan. Tanpanya aku tidak akan dewasa!

Tiada ulasan: