SaUDaRa SiBeR

Jumaat, 13 November 2009

GiLa-GiLa ReMaJa

Pernahkah kalian mendengar teori psikologi berkaitan konflik? Bahawa kita tidak akan pernah mengatasi konflik itu sepenuhnya, dan ia akan muncul semula dalam hidup kita pada masa akan datang? Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidupku kini membuatkan aku mengaplikasikan teori tersebut bagi merasionalkan setiap tindakan. Tindakan yang nampaknya semakin tidak rasional. Mengutamakan id daripada ego atau superego. Hidup dengan mengutamakan nafsu haiwanniah berbanding elemen yang menjadikan aku manusia. Menerusi blog salah seorang pensyarah, aku mengenali kata-kata "Hidup ni bukan untuk seronok-seronok sahaja..,". Lantas, aku memutuskan untuk menerima beberapa tanggungjawab untuk mengisi ruang hidup yang aku rasakan 'kosong' itu.

Tubuhku ada di sini
Tetapi tidak jiwaku
Kosong yang hanya kurasakan
Kau telah tinggalkan hatiku

Bait-bait dari lagu 'Kosong' nyanyian kumpulan Dewa pernah aku gemari. Menerusi salah satu filem juga, aku mengutip kata-kata ini.. "Pernahkah semasa kalian membaca sesebuah buku, kemudian kalian menemui satu peristiwa yang dialami oleh watak yang pernah dialami oleh kalian juga? Mungkin ini terlalu biasa, namun sedang kalian meneruskan pembacaan, kalian dapati bahawa penceritaan penulis memiliki persamaan dengan pemikiran saudara terhadap peristiwa tersebut. Malah, hasil peristiwa atau sesebuah konflik yang kalian fikirkan itu mungkin juga sama. Ini menunjukkan bahawa, kalian pernah berfikir akan situasi yang sama dengan penulis. Kemungkinan itu adalah menyenangkan, bukan? Bahawa pemikiran sesetengah dari kita adalah sama, lebih-lebih lagi bagi individu yang menganggap bahawa dirinya keseorangan di muka bumi ini.. Memikirkan kemungkinan bahawa anda tidak lagi keseorangan. Memikirkan bahawa anda bukanlah seorang yang pelik kerana berfikiran demikian. Terdapatnya orang lain yang memikirkan perkara yang sama. Ini juga membuat seorang pembaca lebih rapat dengan penulis, dalam cara yang tidak terjangkakan". Okey, aku akui. Mungkin terdapatnya sedikit pandangan aku dalam pertanyaan di atas. Namun aku tetap menyatakan perkara utama yang aku dapati dari filem tersebut.
Pernyataan inilah yang merasionalkan tindakanku, melarikan diri kepada buku-buku bukan ilmiah berbanding kewajibanku kini, menelaah nota-nota untuk menghadapi perjuangan terakhirku bagi semester ini, esok. Juga, tindakanku yang mengutamakan nafsu haiwanniah untuk kepuasan sementara berbanding elemen yang menjadikan aku manusia. Oh ya, aku sedang menguliti karya Stephenie Meyer, partial draft Midnight Sun yang aku muat turun dari laman sesawangnya semasa perkhidmatan jalur lebar di kolej masih laju. Semoga aku berjaya menghabiskan pembacaan itu dalam jangka masa yang sepatutnya, seterusnya menelaah nota-nota yang sepatutnya, sudah lama aku fahami.
P/S : Entri ini lebih kurang sama dengan entriku pada akhir semester lepas, dalam blogku di Friendster. Will I ever learn?

Tiada ulasan: